Thursday, December 7, 2006

Movie Review: CINTA

Selepas menonton filem CINTA, diri seperti dicengkam dengan pelbagai perasaan yang sukar untuk ditafsirkan. Terdapat pelbagai unsur yang berjaya diraih dan dirasai menerusi filem tersebut. Mesej yang cuba disampaikan begitu telus dan jelas. Mengupas tentang ceritanya, Cinta mungkin tidak sempurna dan timbul sedikit babak-babak klise namun jalinan cerita antara cerita dikaitkan dengan begitu baik sekali sehingga apa-apa yang mencacatkannya dapat ditutup dengan sebelah mata.

Filem Cinta memperihalkan lima kisah cinta yang digarap dengan berbeza-beza. Menariknya filem ini, kelima-lima kisah yang dipaparkan diceritakan tanpa diputarbelitkan dan begitu mudah untuk difahami. Orang sewel pun boleh faham. Dengan sinematografi yang hebat dan paparan cerita yang begitu tulus dan jujur, saya berani mengatakan bahawa Cinta adalah antara filem Melayu terbaik pernah saya tonton. Pada mulanya, saya khuatir akan kesamaan yang mungkin timbul dengan filem Barat yang tidak kurang hebatnya 'Love Actually' tetapi ternyata Cinta tidak menghampakan dan persamaannya hanyalah dari segi temanya.


Cerita pertama adalah gandingan Dato' Rahim Razali dan Fatimah Abu Bakar yang berjaya mempersembahkan lakonan yang begitu menyentuh hati. Berbeza dengan kisah-kisah cinta lain, 'unggul' mengisahkan cinta yang terbit antara dua orang yang meniti usia tua. Dato' Rahim Razali memainkan watak Cikgu Elyas yang menghidap penyakit Alzheimer. Kesudian orang sekeliling yang turut 'berlakon' bersama beliau menunjukkan betapa beliau sangat dikagumi semasa bertugas sebagai seorang guru. Antara petikan skrip lakonan beliau yang saya sukai ialah, "Bukan senang untuk cari orang yang sanggup terima buruk baik kita, sanggup susah senang bersama kita...... isteri bukan hakmilik, tapi ANUGERAH." Alangkah indahnya hidup andaikata semua lelaki didunia berpendapat sebegitu!

Fatimah Abu Bakar telah melakonkan watak sebagai seorang pemilik kedai makan bernama Rubiah ataupun Mak Bi yang bertutur dalam loghat Utara. Sifat yang ditonjolkan beliau dalam lakonannya yang bersahaja begitu menyerlahkan naluri keibuan dan sifat penyayangnya walaupun ditinggalkan suami dan terpaksa mengharungi hidup sendirian tanpa sebarang kelulusan akademik. Kesanggupannya untuk menjaga Cikgu Elyas mempamerkan keikhlasan beliau walaupun sedar pertolongannya terhadap Cikgu Elyas bakal dilupakan tatkala esok menjelma.

Sungguhpun Ngasrizal Ngasri memegang watak sampingan sebagai Amin dalam kisah mereka, kemunculan beliau sebagai cucu Cikgu Elyas meninggalkan kesan yang mendalam dan melengkapkan rencah kehidupan penceritaan tersebut. Kasih yang tidak pernah berbelah bahagi terhadap datuknya walaupun beliau disangkakan bapanya, Mat menunjukkan beliau tidak mengaharapkan kasih dan sayangnya dibalas dengan apa jua sekalipun. Nasihat Mak Bi yang sangat bermakna buatnya dalam filem tersebut, "Penat seharian dengan orang yang kita sayang lebih bermakna dari kita hidup hingga akhir hayat dengan orang yang kita tak sayang..."


Cerita seterusnya dibintangi pasangan Rashidi Ishak (Harris) dan Rita Rudaini (Airin). Pada hemat saya, Rashidi begitu hebat dalam merungkai ekspresinya sebagai seorang suami yang ditinggalkan isteri yang memburu cinta lain. Jarang-jarang lakonan beliau meninggalkan kesan sebegitu dan Cinta telah berjaya menyerlahkan bakat sebenarnya. Apabila Harris mendapat tahu bahawa isterinya tidak menyimpan perasaan cinta terhadap dirinya lagi, hidup beliau kelam. Seperti kapal yang tidak mampu untuk berlabuh, dilambung lautan bergelora. Paling menyentuh hati saya ialah ketika Harris mengatakan kepada Airin, "He must be some kind of guy." Dan hati terdetik, bagaimanakah cinta Airin boleh luput terhadap seorang suami yang begitu menyayangi dan terlalu baik terhadap dirinya? Bagaimanakah beliau tergamak mengejar sesuatu yang belum pasti sedangkan beliau cukup segala-galanya?
Begitu hebat sekali penangan cinta! Tanpa kehadiran cinta, semuanya tidak bermakna.

Kisah sedih tersebut menceritakan tentang Harris yang begitu mencintai isterinya sehingga sanggup menggunakan kepakarannya sebagai seorang arkitek untuk membina sebuah 'istana' yang pernah mereka impikan suatu ketika dahulu. Namun cinta merupakan sesuatu yang subjektif dan Airin meninggalkan Harris untuk mengejar cinta hati sebenarnya. Saya begitu tertarik dengan lakonan kanak-kanak yang memegang watak sebagai anak kepada pasangan ini. Babak yang memperlihatkan beliau ditinggalkan bersama-sama ibunya Airin oleh bapanya Harris begitu menyayat hati dan mampu menitiskan airmata sesiapa sahaja yang melihatnya.



Lakonan Que Haidar sebagai Dhani bersama-sama Nanu Baharudin (Dyan) menggarap kasih sayang antara adik-beradik. Mutu persembahan Que Haidar sangat membanggakan sebagai seorang pelukis jalanan. Sungguhpun mempunyai kelulusan yang melayakkan beliau mendapat pekerjaan yang lebih baik, beliau selesa dengan minatnya itu walaupun pulangannya tidak selumayan mana. Berbeza dengan kakaknya Dyan yang bergelar arkitek dan memandu sebuah kereta mewah, kesenangan hidup dan kemewahan yang dikecapi belum menjanjikan kebahagiaan yang dicari-cari. Watak Nanu sebagai seorang kakak agak berat tetapi begitu memuaskan. Beliau akhirnya mengorbankan dirinya untuk memberikan kehidupan kepada adiknya yang amat disayangi. Mungkinkah kebahagiaan adiknya adalah kebahagiaan yang beliau cari selama ini?



Kisah Eizlan Yusoff (Azlan) dan Fasha Sandha (Azura) pula lain ceritanya. Berkenalan di sebuah kedai buku dan akhirnya jatuh cinta antara satu sama lain, cerita ini memperihalkan Azlan yang pada mulanya malu untuk mengaku Azura sebagai teman wanitanya. Beliau yang merupakan pemilik sebuah syarikat majalah begitu takut andaikata kisah cintanya dihidu oleh pihak media. Kata-kata Harris menyedarkannya dan beliau memburu Azura untuk meluahkan perasaannya. Saya seperti cair apabila Azlan membawa Azura untuk 'date' yang pertama. Alunan 'Belaian Jiwa' yang dimainkan oleh band di tengah-tengah taman yang memenuhi ruang malam begitu mengasyikkan dan pada pendapat saya begitu romantis pada pihak Azlan.



Sharifah Amani (Arianna) dan Pierre Andre (Taufiq) digandingkan dalam kisah yang membawa kepada pencarian kekasih Arianna. Taufiq selaku seorang jurnalis berperanan membantu Arianna dalam misinya. Melihatkan lakonan Sharifah Amani, saya agak kecewa kerana watak beliau kurang membezakan beliau daripada lakonan-lakonannya yang lain. Beliau perlukan kelainan yang mampu mengangkat lagi kebolehan beliau dan mewujudkan lebih kepelbagaian dalam persembahannya. Begitu juga Pierre Andre. Beliau begitu sinonim dengan watak sebagai seorang yang baik dan naif. Saya tidak memperlekehkan kebolehan lakonan mereka tetapi saya mengaharapkan kelainan dalam watak persembahan mereka.

Cinta berjaya membawa skrip yang bermutu dan menyampaikan mesej yang berguna. Silalah tonton Cinta di pawagam berdekatan ye :D


"Kadang-kadang orang yang paling kita sayang adalah orang yang paling susah untuk disayangi." -- Fatimah Abu Bakar (Cinta 2006)

No comments:

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com