Saturday, January 10, 2009

Salam Tahun Baru

Semoga belum terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut Awal Muharram dan Tahun baru kepada sahabat-sahabat sekalian. Terlalu lama rasanya membiarkan Silver Lining tanpa coretan. Banyak yang berlaku dalam tempoh tersebut namun aku terlalu bersyukur dipanjangkan umur untuk menghirup udara 2009.

Mak dan abah sudahpun pulang semalam dari Tanah Suci. Alhamdulillah. Sepanjang tempoh itu, banyak yang perlu aku uruskan. Makan, minum, pakai 4 orang adik lelaki yang kebetulan bercuti. Keperluan kembali ke sekolah, rumah... semuanya. Sepatutnya tidak susah, tapi menjadi susah apabila pada hemat aku adik-adik lelakiku terlalu dimanjakan. Mungkin selama ini aku tidak sedar kerana aku dan mak berganding bahu dalam apa jua hal-hal berkaitan rumah namun apabila dibiarkan terkapai-kapai menguruskan segalanya sendiri, aku dapat rasakan sayapku hilang.

Tapi aku terlalu bersyukur dapat menguruskan segalanya dengan baik, bersyukur dengan bantuan saudara-mara yang tidak putus-putus bertanya khabar, berkunjung kasih dan mengingati kami sentiasa. Budi dan jasa baik kalian tidak akan dapat kubalas. Memang benar, kalau senang semua mendekati tapi bila susah semua menjauh. Darah daging juga yang tak lari. Itu dah memang lumrah hidup.

Terlalu rindu pada Mak dan Abah; pada Mak terutamanya kerana pada dialah aku mengadu nasib, mencurah perasaan. Rindu pada wajah lembut teman bicara seorang ini. Banyak cerita yang aku hendak kongsi dengan Mak tapi masih belum berkesempatan. Bukan hendak melebih-lebihkan kasih, tapi Mak tak bekerja dan sentiasa ada. Sebaik mereka tiba semalam dan sewaktu Abah turun dari kereta, aku hampir tak mengenali Abah. Pada fikiran aku waktu itu "Siapalah Pak Sheikh yang Abah bawa pulang ni?" Rupa-rupanya Abah sendiri yang menyimpan jambang persis seorang Pak Arab. Aku rasa imej itu sangat secocok dengan dia. Seronok sangat Mak dan Abah dah pulang, syukur sangat mereka sihat dan selamat. Permulaan yang baik untuk tahun baru.

Semoga 2009 menjadikan aku orang yang lebih baik, yang ingat pada rezeki dan kasihNya, yang sentiasa bersyukur. Banyak hikmah besar yang pada mulanya aku tidak nampak tahun lepas, tahun ini semuanya makin jelas dan aku redha dengan semua ketentuanNya. Sesungguhnya aku yakin Dia Maha Mengetahui. Aku juga tidak lupa mengirim doa pada Mak dan Abah sewaktu disana buat kalian semua.

Kepada sahabat-sahabat yang baru & bakal mendirikan mahligai, semoga kasih pada Yang Satu lebih menyatukan kalian. Terima kasih untuk semua jemputan.

Akhir kata, sama-samalah kita berdoa untuk saudara-saudara kita di Gaza dan Palestin amnya.

2009, bring it on!

No comments:

Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com